Semangat semut beri panduan umat bina etika kerja CEMERLANG. SEMUT adalah serangga bertubuh kecil tetapi hidup dalam satu komuniti kukuh bersatu padu. Semut dapat dilihat di tempat lembap dan mengandungi sisa makanan. Ada pelbagai spesies semut di dunia dan kehadirannya dalam jumlah yang banyak pasti menggawatkan manusia lantas pelbagai kaedah dilaksanakan untuk menghapuskannya.
Sikap rajin dan dedikasi semut boleh dijadikan iktibar dan pedoman dalam menelusuri roda kehidupan di dunia ini. Perhatikan bagaimana semut apabila mencari makanan, mereka begitu tekun, gigih malah cukup tabah meneroka kawasan dianggap mempunyai sumber makanan.
Meskipun kawasan itu terletak jauh dari sarangnya, namun mereka masih sanggup mencari dan terus mencari sehingga berjumpa dengan sasaran dikehendaki. Semangat kegigihan yang membara itu ternyata ada pada diri setiap semut. Tiada pengecualian kerana semua perlu berusaha mencari sumber makanan keperluan harian.
Justeru, penting dijadikan petanda aras kepada kita supaya bersikap penuh komited terhadap usaha penghidupan. Hal itu sejajar tuntutan Islam yang menyeru umatnya tekun dan bersemangat dedikasi melakukan sesuatu pekerjaan.
Daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang." Allah SWT menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil kerja tekun dan berdedikasi. Ia kerana orang yang hebat dan berjaya cemerlang itu selalu memusatkan perhatian mereka pada usaha yang sedang mereka lakukan.
Bertindak cepat dan bergerak dengan matlamat yang tepat menjadi penanda jaya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." (Surah al-Najm, ayat 39)
Apabila berkata mengenai dedikasi, maka sikap masyarakat Jepun dan Korea adalah antara contoh terbaik masa kini yang menepati semangat semut itu. Kedua-dua masyarakat itu begitu terkenal dengan etika kerja yang tinggi dalam memajukan diri dan negara.
Bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat, Charles Evans Hughes berkata: "Orang tidak akan mati kerana bekerja kuat. Mereka mati kerana pembaziran dan kecemasan." Sebenarnya, keazaman dan semangat gigih menjadikan kerja yang sukar berjaya dilaksanakan dan se kali gus memacu kegemilangan. Inilah semangat semut jika kita rajin perhatikan dengan mata hati yang murni akan perjalanan hidup serangga merayap itu.
Apabila semut berusaha mencari sumber makanan, segala ikhtiar akan ditumpukan dengan perhatian bersungguh tanpa timbul rasa putus asa. Sikap kerajinan semut bersendikan pada bergerak cepat dan tepat memberi impak positif kepada kelangsungan hidup semut.
Kita mesti meneladani sikap dan tabiat baik itu kerana ia selaras suruhan agama. Kata Ibnu Umar dalam satu wasiatnya: "Gunakanlah daripada sihatmu bagi masa sakitmu dan daripada hidupmu bagi masa matimu."
Demikianlah beberapa sikap dan tabiat baik serangga semut yang boleh dimanfaatkan manusia kerana ada ketikanya kita selalu cuai dan tidak mampu berasimilasi dengan alam secara baik dan sempurna. |
5 comments:
I agree bro DJ. Satu lagi yg boleh dijadikan contoh is Lebah. Also bersemangat & rajin.
Thanks for sharing.
Aah. Agree ngan Sis Maria. Lebah n Semut. Dua2 rajin bekerjasama. Manusia je yg malas sikit. Hehe.
betol2
semut ni memg banyak yg positif
contohnye diorang kalo jumpe sesame sendiri, mesti diorang akan stop jap dan tegur kawan tu..
setuju
setuju
tp semut kat rumah selalu jadi korban ridsect ler bro
sian aerk semut2 tu...bertarung nyawa nak cari makan.....kita as human....
kerja berat sikit dah mengeluh kan....
bukan utk sapa pun
utk anak bini and diri sendiri gark...
setuju, kena jadi macam semut...
rajin,bekerjasama,
kalau semua orang camnie, kat mana-mana pun berjaya.. masalah ngan org kita penyakit M....
Tapi betul jugak kesian semut kat rumah tu..
Ada petua tak biar semua semut2 halus tu takde kat rumah..?
Post a Comment